Bebaskan media Malaysia

Pejabat Ahli Parlimen Subang (PAPS) membantah tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak memperbaharui permit penerbitan akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai.

Tindakan ini bukan sahaja menyekat kebebasan media di negara ini; ia juga membuktikan ketidakadilan Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 (Pindaan 1987) yang memaksa penerbit memperbaharui permit penerbitan setiap tahun.

Walaupun tiada alasan rasmi diberikan, Menteri Dalam Negeri telah memberi alasan bahawa KDN telah banyak menerima aduan mengenai isi kandungan akhbar tersebut yang kononnya tidak sensitif terhadap masyarakat negara ini.

Namun, ramai yang berpendapat lesen Makkal Osai tidak diperbaharui kerana ia memberi liputan untuk parti-parti Pakatan Rakyat semasa pilihanraya lalu serta lima pemimpin Barisan Bertindak Hak-hak Hindu (Hindraf) yang ditahan menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Sememangnya akhbar Makkal Osai merupakan salah satu akhbar Tamil yang mendedahkan kepincangan kerajaan Barisan Nasional. Ia sering memberi liputan kepada isu-isu masyarakat seperti pekerja ladang, kilang dan juga isu lain kaum India.

Makkal Osai bukan satu-satu media yang menghadapi tekanan sebegini. Banyak media yang pernah menjadi mangsa Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 tersebut, termasuk Akhbar Harakah yang disekat pengeluarannya mulai awal 2000.

Justeru itu, PAPS menggesa Menteri Dalam Negeri untuk bukan sahaja mendedahkan aduan yang dibuat dan identiti pengadu tersebut tetapi memperbaharui segera permit Makkal Osai.

PAPS juga menggesa pihak kerajaan untuk memansuhkan Akta Penerbitan dan Percetakan 1984 sekiranya mereka ingin menjadi kerajaan yang benar-benar telus dan bertanggungjawab serta mendukung kebebasan media negara ini.

Post a Comment or Leave a Trackback

Post a Comment

Your email is never published nor shared. Required fields are marked *

*
*